FALL IN LOVE WITH MORE FREE TEMPLATES! CLICK HERE TO GET YOUR OWN SMITTEN BLOG DESIGN... »

ADVERTISEMENT

02 August 2013

Jumaat Terakhir Di Bulan Ramadhan 1434H



hari ini adalah jumaat yang akhir di bulan ramadhan
insyaAllah, jumaat minggu depan kita sedang merayakan kemenangan

sedikit tazkirah pengisian jiwa buat semua


googled



Selepas sebulan menyempurnakan ibadah puasa,
umat Islam akan dikurniakan Hari Raya Aidilfitri (‘Idul Fitri’) 
sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Hakikat yang perlu dimengerti ialah kurniaan Aidilfitri adalah sebagai tanda kita telah kembali ke fitrah asal, iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik dan menundukkan hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya. Bagi mereka yang benar-benar berjaya menjadikan Ramadan sebagai ‘madrasah rohaniah’ maka sudah tentu ia akan mencapai ‘islah al-basyar’ atau transformasi kemanusiaan (‘human reform’).

Transformasi kemanusiaan ini dicapai melalui amalan bermujahadah melawan hawa sehingga sifat-sifat keji yang bersarang di dalam hati dibuang dan diganti dengan sifat ketakwaan di dalam jiwa. Justeru, Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan. Untuk menzahirkan kegembiraan itu maka pada 1 Syawal kita diharamkan berpuasa. Hikmahnya adalah supaya semua umat Islam dapat berkongsi kegembiraan dan keceriaan pada hari kemenangan tersebut.

Perlu diingat sambutan Aidilfitri itu mesti dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan dan ketakwaan yang dibina di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Aidilfitri bukanlah hari untuk kita melampiaskan kembali hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah). Bertakbir pada 1 Syawal adalah amalan yang disyariatkan dan ia bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah iman selesai berkhutbah solat Aidilfitri.

Takbir dan tahmid itu menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Umat Islam dianjurkan menghidupkan malam raya dengan amal ibadat supaya hatinya menjadi hidup seperti maksud hadis yang diriwayatkan Imam Tabrani r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan malam Aidiladha dengan amal ibadat semata-mata mengharap keredaan Allah maka hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir”.

Maksud “hati yang tidak mati ” ialah hati yang tetap istiqamah mengingati (berzikir) kepada Allah dalam apa keadaan sekali pun sehingga mendorongnya menghindarkan diri dari melakukan perbuatan yang bercanggah dengan  syariat Islam.

Pada pagi hari raya kita disunatkan mandi sunat raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah. Selepas solat Aidilfitri kita disunatkan pula mendengar khutbah. Namun, tidak menjadi halangan jika kita memilih untuk beredar seperti maksud hadis diriwayatkan Abu Daud, Abdullah bin al-Sai’ib r.a. berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama nabi SAW. Setelah selesai solat baginda bersabda, “Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar dia boleh duduk. Sesiapa ingin pergi, dia boleh beredar”. Yang afdalnya, mendengar khutbah itu lebih baik kerana di dalamnya penuh dengan peringatan dan nasihat untuk orang mukmin.

Umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah. Justeru, di Aidilfitri inilah kita dituntut bermaaf-maafan, memohon maaf dari kedua ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Memohon maaf dan sifat memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia. Jika di bulan-bulan lain agak sukar untuk kita memohon maaf dan memaafkan,  maka di Aidilfitri inilah hati kita sudah dilembutkan oleh amalan puasa untuk berbuat demikian.

Sekiranya amalan mulia ini dilakukan dengan penuh keikhlasan sudah tentu ia dapat meleburkan rasa angkuh, sombong dan merasakan diri tidak pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain. Amalan  menyambung silaturrahim pula boleh menyebabkan rezeki kita bertambah seperti maksud hadis, ”Barang siapa yang suka diperluaskan rezekinya dan kehidupan yang baik, maka hendaklah menyambung silaturrahim” (HR Bukhari).

Ketika bertemu dan berjabat tangan dengan saudara seagama kita maka ucapkan ‘taqabbalullah minna waminka’ yang bermaksud “semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu”. Selain bermaaf-maafan, ikatan ukhwah Islamiah juga dapat diperkukuhkan melalui amalan ziarah.

Justeru, tamu yang datang ke rumah wajib dilayan dan dihormati dengan penuh kemesraan walaupun tamu itu berlainan agama dengan kita. Ini penting supaya mereka dapat melihat dan menikmati keindahan Islam. Ia sekali gus dapat mewujudkan suasana keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti yang wujud di negara kita.

Didik anak-anak remaja kita supaya menghormati saudara mara dan tamu yang datang ke rumah kita untuk beraya. Demikian juga jangan biarkan anak-anak kita berebut-rebut untuk mendapatkan duit raya ("ang pau") ketika tamu datang atau ketika berziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai sehingga didikan sebenar makna Aidilfitri itu lenyap dari jiwa mereka. Ada-adab ini penting diamalkan supaya hari raya benar-benar dapat memupuk kasih sayang, silaturahim dan rasa persaudaraan sesama insan.

Perlu diingat, walaupun kita dianjurkan menceriakan suasana hari raya dengan menghiasi rumah, menyediakan juadah, berpakaian yang indah-indah serta memakai wangi-wangian tetapi semuanya itu mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak membazir serta terhindar dari perasaan menunjuk-nunjuk, riak dan sombong terutamanya ketika menganjurkan ‘rumah terbuka’. Sifat kesederhanaan hendaklah diutamakan. Demikian juga wajib kita memelihara batas-batas berpakaian dan pergaulan supaya tidak melanggar syariat.

Di hari mulia inilah kita sepatutnya menunjukkan sikap prihatin dan belas kasihan terhadap anak-anak yatim, orang miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Sikap ini jangan dihadkan ketika bulan Ramadan sahaja tetapi di bulan-bulan yang lain juga. Walaupun kita sudah mengeluarkan zakat fitrah sebelum berhari raya tetapi kita tetap digalakkan membantu golongan tersebut dengan pelbagai pemberian atau sedekah yang boleh memberikan kegembiraan kepada mereka.

Kita juga jangan lupa nasib umat Islam di pelbagai tempat yang sedang berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan seperti yang dialami umat Islam Rohingya di Nyamar, Syria, Palestine dan Somalia. Doakan kesejahteraan untuk mereka dan perbanyakan syukur kerana kita dapat menikmati Aidilfitri dalam suasana yang cukup aman di tanah air yang tercinta ini.

Kesimpulan, Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertautkan kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Dalam konteks bernegara dan bermasyarakat, perayaan seperti ini boleh menjadi saluran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.

Apa yang penting ialah sambut Aidilfitri mestilah disambut dalam kerangka syariat Islam supaya nilai ketakwaan kita tidak tercemar dengan amalan-amalan yang menyalahi syariat. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita sepanjang hayat. “Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar Walillahil Hamd”.


copy & paste from here



















p/s: ramadhan bakal berlalu pergi
mampukah bertemu ramadhan yang akan datang?

















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...